Lailatul Qadar merupakan satu malam yang mempunyai
kelebihan lebih seribu bulan yang lain. Ini dapat kita lihat daripada apa
yang telah dinukilkan oleh Allah di dalam al-Quran dalam surah al-Qadar.
Begitu juga dengan apa yang telah diberitahukan oleh Rasulullah S.A.W dalam
beberapa hadis yang sohih. Kita disuruh untuk menghidupkan malam lailatul
qadar dan tidak membiarkannya berlalu begitu saja. Rasulullah S.A.W
telah bersabda dalam hadis muttafaq 'alaih daripada Abu Hurairah yang
artinya :
Sesiapa yang menghidupkan malam lailatul qadar penuh
keimanan dan keikhlasan akan diampun baginya dosa yang telah lalu.
Menurut imam
Fakhrurrazi bahwa Allah menyembunyikan malam lailatul qadar dari
pengetahuan kita sebagaimana Dia menyembunyikan segala sesuatu yang lain.
Dia menyembunyikan keredhaanNya pada setiap ketaatan sehingga timbul dalam
diri kita keinginan untuk melakukan semua ketaatan atau ibadat itu. Begitu
juga Dia menyembunyikan kemurkaanNya pada setiap perkara maksiat agar kita
berhati-hati dan menjauhi segala maksiat dan tidak memilih antara dosa
besar dan kecil untuk melakukannya kerana dosa kecil jika terus dilakukan
secara berterusan akan menjadi dosa besar jika kita tidak bertaubat dan
berusaha meninggalkannya. Dia menyembunyikan wali-waliNya agar manusia
tidak terlalu bergantung kepada mereka dalam berdoa sebaliknya berusaha
sendiri dengan penuh keikhlasan dalam berdoa untuk mendapatkan sesuatu
daripadaNya kerana Allah menerima segala doa orang yang bersungguh-sungguh
dan tidak mudah berputus asa. Dia menyembunyikan masa mustajab doa pada
hari Jumaat supaya kita berusaha sepanjang harinya. Begitulah juga Allah
menyembunyikan penerimaan taubat dan amalan yang telah dilakukan supaya
kita sentiasa istiqamah dan ikhlas dalam beramal dan sentiasa bersegera
dalam bertaubat. Demikianlah juga dengan penyembunyian malam lailatul
qadar agar kita membesarkan dan menghidupkan keseluruhan malam Ramadhan
dalam mendekatkan diri kepadaNya bukan hanya sekadar menunggu malam
lailatu qadar sahaja untuk beribadat dan berdoa. Tetapi inilah penyakit
besar yang menimpa umat Islam yang menyebabkan malam-malam Ramadhan lesu
kerana mereka hanya menanti malam yang dianggap malam lailatul qadar
sahaja untuk beribadat. Kerana mengejar kelebihan lailatul qadar yang mana
kita tidak mengetahui masanya yang tertentu menyebabkan kita terlepas
dengan kelebihan Ramadhan itu sendiri yang hanya datang setahun sekali.
Antara tanda-tanda
dalam mengetahui malam lailatul qadar adalah berdasarkan beberapa hadis di
bawah :
1. Abi Ibnu Ka'ab
telah meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W telah bersabda mengenai
lailatul qadar yang artinya :
Sesungguhnya matahari yang keluar pada hari itu tidak begitu bercahaya
(suram). - Hadis riwayat imam Muslim dalam
kitab puasa -
2. Telah
diriwayatkan daripada Nabi S.A.W bahawa baginda telah bersabda yang
artinya : Sesungguhnya tanda-tanda
lailatul qadar, bahawa malamnya bersih suci seolah-olah padanya bulan yang
bersinar, tenang sunyi, tidak sejuk padanya dan tidak panas, tiada ruang
bagi bintang untuk timbul sehingga subuh, dan sesungguhnya tanda-tandanya
matahari pada paginya terbit sama tiada baginya cahaya seperti bulan malam
purnama tidak membenarkan untuk syaitan keluar bersamanya pada hari itu.
- Hadis riwayat imam Ahmad dengan isnad jayyid daripada Ibadah bin
As-Somit -
3. Dalam Mu'jam
At-Tobarani Al-Kabir daripada Waailah bin Al-Asqa' daripada Rasulullah
S.A.W telah bersabda yang artinya :
Malam lailatul qadar bersih, tidak sejuk, tidak panas, tidak berawan
padanya, tidak hujan, tidak ada angin, tidak bersinar bintang dan daripada
alamat siangnya terbit matahari dan tiada cahaya padanya(suram).
4. Telah
meriwayat Al-Barraz dalam musnadnya daripada Ibn Abbas bahawa Rasulullah
S.A.W telah bersabda yang artinya :
Malam lailatul Qadar bersih tidak panas dan tidak pula sejuk.
Qadhi 'Iyad telah
mengatakan ada dua pendapat mengenai matahari yang terbit tanpa cahaya
iaitu:
1) Ia merupakan tanda
penciptaan Allah SWT.
2) Menunjukkan bahawa
kerana terlalu banyak para malaikat yang berzikir kepada Allah pada
malamnya dan mereka turun ke bumi yang menyebabkan sayap-sayap dan
tubuh mereka yang halus menutupi dan menghalangi matahari dan
cahayanya.
Daripada hadis-hadis di
atas bolehlah kita buat kesimpulan bahawa antara tanda-tanda lailatul
qadar ialah :
a. Pada malamnya
keadaan bersih dengan cuaca tidak sejuk dan tidak pula panas.
b. Malamnya tenang yang
mana terang dan angin tidak bertiup sebagaimana biasa dan awan agak nipis.
c. Malamnya tidak turun
hujan dan bintang pula tidak bercahaya seolah-olah tidak timbul.
d. Pada siangnya pula
matahari terbit dalam keadaan suram.
