|
|
fadhilat bulan
muharram
Muharram 1424 hijrah kini datang menemui kita samada kita sudah bersedia
untuk menyambut kedatangannya atau pun kita masih hanyut dibuai mimpi
indah tanpa menghiraukan tentang perjalanan waktu yang begitu cepat berlalu.
Rasanya baru saja kita bersama tahun 1423 hijrah dan kini ia sudah
pergi meninggalkan kita bersama kenangan dan nostalgia indah dan
duka yang tercatat dalam diari perjalanan hidup kita.Muharram mengingatkan
kita kepada hijrah Rasullullah S.A.W dari kota Mekah ke kota Madinah dalam
mencari kuasa ke arah merubah tamadun dan peradaban dunia yang dinodai
oleh kesyirikan dan najis kesesatan kerana kuasa pemerintahan pada masa
itu berada dalam genggaman tangan mereka yang tidak layak untuk
menjalankan amanah Allah. Kini hijrah sebagaimana Rasulullah S.A.W itu
tidak akan berlaku lagi tetapi penghijrahan dari alam kesesatan sekular
atau najis perundangan ciptaan manusia akan terus berlaku sehingga
tertegaknya kembali khilafah Islam yang telah lama diruntuhkan. Dunia akan
kembali ceria dan aman apabila Islam berjaya kembali bertakhta di atas
singgahsananya yang sebenar nanti. Cuma usaha ke arah itu menjadi
tanggungjawab kita bersama. Hijrah untuk kita juga berkaitan dengan sikap
dan amalan diri kita sendiri yang mana adakah kita sudah mampu merubah
diri dari peralihan masa ini atau pun memang kita terus berpuas hati
dengan segala apa yang ada tanpa ada di sana niat dan usaha ke arah
melakukan reformasi pada diri sendiri ke arah yang lebih baik dari hari
semalam.Tidak runsingkah kita bila memikirkan bahawa dengan berlalunya
1419 hijrah dan tibanya tahun 1420 hijrah ini maka dengan sendiri
bertambahnya umur kita. Tidak risaukah kita jika umur kita bertambah
seiring dengan bergandanya dosa kita dan pahala kita pula terus berada di
takuk lama.
Semoga kedatangan tahun baru hijrah ini kita mampu menyambutnya dengan
pelbagai amalan untuk mendekatkan diri kepada Allah dan juga mampu merubah
diri ke arah yang lebih baik.Banyakkanlah bertaubat kepada Allah di atas
segala dosa yang lalu. Tidakkah kita merasa hina dan kerdil bila
mengingatkan bagaimana Rasulullah S.A.W sendiri yang telah terjamin akan
masuk syurga dan juga terhindar daripada sebarang dosa sentiasa bertaubat
kepada Allah sedangkan kita yang tidak lepas daripada terpalit dengan
najis dosa terus hidup dengan gelomang dosa itu tanpa bertaubat kepada
Allah. Adakah kita merasakan tidak ada masa untuk bertaubat sedangkan masa
untuk membuat maksiat begitu banyak atau pun merasakan dosa yang dilakukan
itu kecil sangat dan tidak payah bertaubat.Ingatlah kita bahawa dosa yang
kecil turut akan ditayangkan oleh Allah di padang Mahsyar nanti dan ia
turut menjadi saham ke arah menjerumuskan kita ke lembah neraka yang panas
membakar. Gunakanlahh segala peluang yang ada dengan berdoa, bertaubat,
solat sunat taubat, beristighfar, berpuasa sunat dan sebagainya.
Di sini tidak lupa dicoretkan beberapa hadis yang menggalakkan kita
agar berpuasa pada bulan Muharram kerana pada bulan ini ada kelebihannya
yang tersendiri. Semoga hadis ini mampu membangkit semangat serta mampu
menyuntik motivasi diri ke arah yang terbaik.
Daripada Abu
Hurairah dalam hadis marfu' telah berkata :
Telah bertanya : Apakah solat
yang lebih afdhal selepas solat fardhu? dan apakah puasa yang lebih afdhal
selepas bulan Ramadhan?. Maka jawab nabi S.A.W : Sebaik-baik solat selepas solat yang telah
difardhukan iailah solat pada pertengahan malam dan sebaik-baik puasa
selepas bulan Ramadhan adalah puasa pada bulan Allah Muharram.
- Diriwayatkan oleh
imam Muslim, Abu Daud, Tarmizi, Nasai'e dan Ibnu Majah -
Daripada
Nukman bin Saad daripada Ali telah berkata :
Telah bertanya
kepadanya seorang lelaki maka katanya apakah bulan yang engaku suruh aku
berpuasa selepas bulan Ramadhan?. Maka jawabnya : Aku tidak pernah
mendengar seseorang bertanya mengenai perkara ini melainkan seorang lelaki
yang aku telah dengar bagaimana dia bertanya kepada Rasululullah S.A.W
sedangkan aku duduk disampingnya. Maka katanya : Wahai Rasulullah! apakah
bulan yang engkau suruh aku berpuasa selepas bulan Ramadhan?. Jawab nabi
S.A.W yang bermaksud : Sekiranya engkau berpuasa selepas bulan Ramadhan
maka berpuasalah bulan Muharram maka sesungguhnya ia merupakan bulan Allah
padanya hari Allah telah mengampunkan dosa padanya atas kaum dan akan
mengampun padanya atas kaum.
- Hadis hasan
gharib diriwayatkan oleh imam Tarmizi -
Hadis tersebut memberitahu
kita mengenai kelebihan berpuasa dan juga kelebihan bulan Muharram itu
sendiri sebagai bulan Allah yang mana dia telah mengampunkan dosa orang
yang lalu dan akan mengampunkan dosa mereka yang masih hidup sekarang yang
bertaubat kepadaNya.Semoga kita semua termasuk dalam golongan yang
bertaubat itu.
maraji
1. Al-Minhaj Syarah Sohih Muslim oleh imam
Nawawi, semakan Syeikh Khalil Ma'mun Syiha, Darul Makrifah, Beirut.
2. Tuhfah al-Ahwazi bi Syarhi Jami' at-Tarmizi,
Mubarakfuri, Darul Kutub Ilmiah, Beirut.
3. Sunan Abu Daud

|
|