1. Daripada Anas bin Malik
Radhiallahu 'anhu telah berkata : Aku mendengar Rassulullah S.A.W bersabda
: Sesungguhnya Allah berfirman (maksud) :
Wahai anak Adam! Apabila engkau memohon dan mengharapkan pertolonganKu
maka Aku akan mengampunimu dan Aku tidak menganggap bahawa ia suatu yang
bebanan. Wahai anak Adam! Sekalipun dosa kamu seperti awan meliputi langit
kemudian kamu memohon keampunanKu, nescaya Aku akan mengampuninya. Wahai
anak Adam! Jika kamu menemuiku(selepas mati) dengan kesalahan sebesar
bumi, kemudiannya kamu menemuiKu dalam keadaan tidak syirik kepadaKu
dengan sesuatu nescaya Aku akan datang kepadamu dengan pengampunan
terhadap dosa sebesar bumi itu.
-
Riwayat imam
Tarmizi dan kata beliau ia adalah hadis Hasan Sohih
-
2. Di dalam sohih Muslim
tercatat : Firman Allah Ta'ala ( maksud ) :
Sesiapa yang mendekatiKu sejengkal maka Aku akan mendekatinya sehasta.
Dan sesiapa yang menghampiriKu sehasta maka aku kan menghampirinya
sepemeluk dan sesiapa yang datang kepadaKu dalam keadaan berjalan maka Aku
akan kepada dalam keadaan bersegera. Dan sesiapa menemuiKu(selepas mati)
dengan dosanya sebesar bumi tetapi tidak syirik padaKu dengan sesuatu
nescaya Aku akan menemuinya dalam keadaan mengampuni dosa sebesar bumi itu.
3. Hadis yang
artinya :
Demi tuhan yang mana diriku berada pada
tanganNya (kekuasaan) sekiranya kamu melakukan kesalahan sehingga memenuhi
dosa-dosa itu antara langit dan bumi kemudian kamu memohon keampunan Allah
nescaya Dia akan mengampunimu.
4. Di dalam Hadis Qudsi
yang artinya :
Satu kebaikan akan diganda sepuluh malah lebih,
manakala satu kejahatan tetap dikira satu (tidak diganda) ataupun aku
mengampuninya. Sekalipun kamu menemuiKu(selepas ,mati) dengan dosa sebesar
bumi tetapi tidak syirik kepadaKu dengan sesuatu maka Aku akan menemuinya
dengan mengampuni dosa sebesar itu.
-
Dipetik dari kitab Al-Ittihafat -
5. Dalam hadis sohih yang
lain yang artinya :Doa adalah senjata
bagi orang mukmin, tiang agama dan cahaya yang menerangi langit dan bumi.
6. Rasulullah S.A.W telah
bersabda yang artinya :
Sesiapa yang banyak beristighfar maka Allah akan
menjadikan baginya daripada setiap kesusahan jalan penyelasaian, daripada
setiap kesempitan jalan keluar dan akan diberikan rezeki dengan cara yang
tidak diketahui.
7. Rasulullah S.A.W telah
bersabda yang artinya :
Tiada daripada seorang muslim yang memohon doa
sedangkan dia sendiri bersih dari dosa dan juga dia tidak pernah
memutuskan perhubungan silaturrahim sesama manusia melainkan Allah akan
menganugerahi kepadanya satu dari tiga perkara ini : sama ada terus
diterima doanya, sama ada Dia akan menangguhnya sehingga hari akhirat
ataupun disimpan(ampun) segala kejahatan yang seumpanya (permintaan tadi).
Maka para sahabat bertanya : Sekalipun banyak? Sabda baginda S.A.W : Allah
lebih banyak pemberianNya.
FAEDAH DAN PENGAJARAN HADIS
1.
Islam menggalakkan kita agar memperbanyakkan beristighfar, selalu
bertaubat kerana kita tidak lepas daripada dosa. Rasulullah S.A.W sendiri
sentiasa beristighfar lebih 70 kali setiap hari sedangkan baginda S.A.W
merupakan seorang rasul yang maksum atau dipelihara daripada dosa besar
dan kecil.
2.
Keampunan Allah lebih besar daripada dosa yang dilakukan oleh hambaNya
sekalipun besar dan banyak kerana rahmatNya dan kerana Dia Maha Kaya
daripada makhlukNya.
3. Dosa itu
adalah penyakit dan ubatnya adalah istighfar.
4. Dilarang
sama sekali kita berputus asa daripada rahmat Allah dan diwajibkan kita
agar sentiasa bersangka baik dengan kemaafan dan pengampunan dari Allah.
Tetapi tidak dikira melampaui syariat sekira timbulnya perasaan terlalu
takut pada Allah sehingga kita merasakan kita tidak akan diampun lagi
tetapi dalam masa yang sama kita terus mengharap dan gerunkanNya.
Kedua-duanya adalah sesuatu yang akan mengimbangkan fitrah pada diri
seorang muslim pada satu sudut dan kesan daripada tarbiah Islamiah pada
sudut yang lain.Tidak sempurna pengabdian melainkan dengan mengambil
kedua-duanya sekali.
5. Allah
mengampuni semua dosa selain daripada syirik kepadaNya samada melalui
perbuatan, perkataan dan pengiktirafan hati.
6. Diminta
agar kita sentiasa bersegera di dalam beristighfar dan bertaubat serta
tidak melengahkannya.
7.
Sesungguhnya perkara yang membawa kepada syirik kepada Allah akan menutup
kita daripada rahmatNya.
8.
Istighfar ialah dengan lidah manakala taubat pula dengan lidah, anggota
dan hati iaitu dengan meninggalkan dosa lalu, bertekad untuk tidak
mengulanginya dan menunaikan kewajipannya.
9. Tiga
cara Allah menerima doa hambaNya iaitu :
1. Terus menerima segala permohonan dan permintaan
yang dipohon
2. Menangguhnya sehingga hari akhirat nanti
3. Menghapuskan dosa yang sama kadarnya dengan
permintaan yang diminta kepada Allah.
10.
Antara adab-adab ketika berdoa ialah :
1. Mendatangkan di dalam hati rasa keinsafan ataupun sebarang permohonan
yang hendak diminta bukannya sekadar diucap di mulut tetapi tidak
terlintas atau terasa di hati tentang apa yang didoakan.Sebaik- baiknya
jika kita kurang memahami bahasa Arab maka lebih baik kita menggunakan
bahasa Melayu ketika berdoa kecuali nama-nama Allah yang lebih baik
gunakan bahasa Arab.
2. Mengharapkan agar Allah akan menerimanya dengan penuh keyakinan
bukannya di sana masih terdetik sikap kesangsian ataupun tidak terlalu
mengharap ketika doa dilakukan sambil lewa sahaja.
3.
Tidak mudah putus asa dengan terlalu mengharapkan segala doa yang dipohon
terus diqabulkan oleh Allah Yang Maha Mendengar lagi Maha Menerima.
4.
Tetapkan hati dengan menjauhi perasaan mudah berubah hati ketika memohon
doa kepada Allah.
11. Adab
Istighfar pula ialah :
1. Memuji dan menyebut nama Allah dengan menyebut
salah satu namanya terutama Al-Ghaffar, Ar-Rahman, Ar-Rahim.
2. Menyebut penyelesalan ke atas dosa dengan
menyebut dosa yang telah dilakukan.
3. Memohon kepada Allah keampunan di atas dosa
yang telah dilakukan.